Pages

Wednesday, October 7, 2009

Jika Anda Usahawan

Anda seorang peniaga tetapi adakah anda berjaya menjadi usahawan? Peniaga tidak semestinya berjaya menjadi usahawan tetapi usahawan terdiri daripada mereka yang juga menjalankan perniagaan. Seorang usahawan yang berjaya berkebolehan untuk membuat orang lain percaya kepada idea-ideanya dan juga mempunyai kepercayaan diri sendiri serta berkarisma untuk menjual idea-idea tersebut. Ada di antara usahawan yang mencari dan mewujudkan idea mereka sendiri dan ada juga di antara mereka mewujudkan personaliti untuk menarik perhatian kepada diri mereka. Oleh itu usahawan yang berjaya adalah seorang yang bijak bercakap dan seorang pendengar yang baik, ikhlas dan boleh menerima pandangan orang lain. Menurut David Mc Clelland, seorang usahawan boleh berjaya sekiranya mereka bersifat inovatif dan kreatif, berani mengambil risiko, percaya pada diri sendiri, sanggup bekerja kuat, berilmu dan boleh merancang dan menetapkan objektif dan tujuan serta bertanggungjawab di dalam segala yang dilakukannya. Seorang pengurus yang menjadi usahawan mempunyai tiga tugas penting iaitu :
1. Mempunyai kebolehan untuk mencari peluang yang ada disekelilingnya untuk diri dan juga syarikatnya.
2. Berkebolehan untuk mengenal pasti sumber-sumber yang ada dan diperluaskan untuk mengambil peluang yang ada.
3. Boleh menetapkan satu objektif yang realistik untuk membolehkannya mengguna dengan baik sumber-sumber yang ada tadi untuk merebut peluang yang terbuka.
MENGATUR STRATEGI PEMASARAN:
Apakah itu pemasaran? Dalam bahasa yang paling mudah, pemasaran bolehlah dibayangkan sebagai jambatan yang menghubungi antara pembeli, pengguna dengan sesuatu produk, perkhidmatan dan apa jua yang hendak ditawarkan.
Ciri-ciri strategi pemasaran yang berkesan mestilah mengambil kira faktor-faktor berikut :
1. Budaya masyarakat setempat harus difahami dan dihayati.
2. Nama produk hendaklah mudah dan senang disebut serta sentiasa mudah diingati.
3. Lakukan promosi dan pengiklanan - usaha menyebarkan maklumat produk wajar diberi pertimbangan dalam usaha promosi.
4. Kos efektif - kaedah dan jenis promosi yang dilakukan haruslah efektif khususnya kos.
5. Lakukan jualan dan promosi bagi menawar atau membeli jiwa pelanggan.
6. Justeru itu peniaga/usahawan wajar belajar bagaimana mengurus dan membeli emosi pelanggan.
7. Kekalkan hubungan dengan pelanggan - ingat namanya dan senyum selalu. Strategi pemasaran yang berkesan mestilah berkeupayaan untuk menghebohkan produk atau perkhidmatan kepada seramai bakal pembeli yang boleh tanpa halangan geografi dan demografi.
16 TIP USAHAWAN KAUM CINA
Kaum Cina merupakan ahli perniagaan yang berjaya dan sering dijadikan contoh. Tidak salah mengambil iktibar yang baik daripada mana-mana kaum sekalipun selagi ia tidak bertentangan dengan pegangan Islam. Anda sebagai usahawan yang baru meningkat naik juga boleh mencontohi golongan peniaga ini:
1. Berniaga mestilah rajin, jika tidak, ia tidak menjadi.
2. Belanja mesti jimat, jika tidak, putus modal.
3. Sambut pelanggan dengan senyuman, jika tidak, pelanggan lari.
4. Masa sentiasa terbuka, jika tidak, hilang peluang.
5. Harga perlu berpatutan, jika tidak, timbul pergaduhan.
6. Memberi hutang perlu kenal orangnya, jika tidak, hilang modal.
7. Akaun perlu disemak sendiri, jika tidak, tidak tahu kekuatan modal.
8. Beri tawaran perlu jelas dan terang, jika tidak, ia tidak teratur.
9. Barangan perlu dikemas, jika tidak, ibarat sampah sarap.
10. Beri arahan pekerja ikut peraturan, jika tidak, akan memakan diri.
11. Barangan mesti disemak sendiri, jika tidak, rendah nilai dan mutunya.
12. Tempoh waktu tidak boleh lewat, jika tidak, hilang kepercayaan.
13. Harta peribadi dan syarikat perlu jelas, jika tidak, timbul penyelewengan.
14. Keluar masuk tunai perlu teliti, jika tidak, bertindih kesilapan.
15. Menghadapi masalah perlu diselesaikan segera dengan baik, jika tidak, mudarat diri.
16. Niat mesti kukuh dan jelas.
CIRI-CIRI PENIAGA ISLAM
1. Niat berniaga mesti betul. Misalnya hatinya berkata begini, "Di tempat ini ramai umat Islam, tapi satu pun tak ada kedai runcit. Ini hal fardu kifayah. Kalau tak selesai ertinya semua umat Islam di sini menanggung dosa. Kalau begitu aku nak buka kedai runcit." Itu adalah niat yang betul, yang tidak betul, hatinya berkata, "Aku nak berniaga supaya untung, bila untung aku akan jadi orang kaya, semua orang akan pandang dan kagum dengan aku".
2. Perkara yang diniagakan sah atau halal menurut Islam. Setiap barangan yang diniagakan mestilah barangan yang halal dan tidak mendatangkan mudarat kepada umat Islam dan manusia keseluruhannya. Orang Islam dilarang atau melibatkan diri dalam perniagaan berbentuk judi, arak, pelacuran dan sebagainya.
3. Perlaksanaan atau pengendalian kedai hendaklah dijalankan mengikut syariat. Timbangan atau sukatan mestilah betul, tidak ada penipuan dan tidak ada unsur-unsur riba.
4. Natijah mesti betul. Hasil keuntungan mestilah disalurkan kepada kehendak syariat. Apabila mendapat untung, cukup haul maka keluarkanlah zakat. Membantu fakir miskin, menderma kepada masjid dan surau, berkorban untuk jihad fisabilillah dan sebagainya. Natijah yang tidak betul ialah digunakan keuntungan daripada perniagaan itu ke meja judi, ke tempat-temapt hiburan yang melalaikan dan lain-lain lagi.
5. Jangan tinggalkan solat. Berniagalah pada bila-bila masa yang anda mampu tetapi jangan sampai meninggalkan solat. Solat itu ialah fardu ain dan lebih utama daripada berniaga. Perniagaan yang dijalankan oleh orang-orang yang tidak solat tidak diterima sebagai ibahdah di sisi Allah S.W.T.

No comments:

Post a Comment