Lembah Kinabatangan, di tengah negeri Sabah, bukan sahaja terkenal dengan tanaman kelapa sawit, malah turut menyimpan khazanah warisan bernilai iaitu "Keranda Kayu Balak". Dianggarkan terdapat 2,000 keranda kayu balak berusia sehingga 1,000 tahun di sekitar Lembah Kinabatangan, menjadikan kawasan itu antara tapak warisan arkeologi terpenting di negara ini.Keranda yang diperbuat daripada kayu pokok belian dan merbau banyak terdapat di beberapa buah gua, antaranya Agop Batu Tulug di Kampung Batu Putih, Kinabatangan yang telah dijadikan Tapak Arkeologi pada 6 Julai 1996 oleh Jabatan Muzium Sabah.Kini pihak muzium tersebut dengan kerjasama Jabatan Muzium Negara dan Universiti Sains Malaysia (USM) menjalankan kerja-kerja membaik pulih dalam usaha memulihara keranda kayu balak yang terdapat di kawasan itu.
LOKASI KERANDA
"Agop" bermaksud gua mengikut dialek kaum Sungai dan berdasarkan taburan jumlah keranda kayu balak di Sabah, Agop Batu Tulug mempunyai 125 buah keranda tersebut yang dianggarkan berusia antara 700 hingga 900 tahun.Ini diikuti Batu Supu (68), Agop Serupi (40), Tapadong (20), Miasias dan Sipit (10), Kuala Sungai Kalisun (lapan), Pusat Penyelidikan Lembah Danum dan Segarong (lima), Gumantong, Madai, Baturong dan Bodgaya (masing-masing dua), Kuala Danum dan Melanta Tutup (masing-masing satu).Perkuburan keranda kayu balak masih aktif terdapat di Ulu Segama, Lahad Datu.Pengarah Jabatan Muzium Sabah, Datuk Joseph P. Guntavid berkata keranda kayu balak ini juga banyak terdapat di Tawau. Katanya sehingga kini hanya kawasan Agop Batu Tulug di Batu Putih, Kinabatangan dijadikan pusat pelancongan dan diwartakan sebagai muzium warisan. Banyak lagi tapak terdapatnya keranda kayu balak ini masih dalam proses penelitian, membabitkan kerjasama antara Jabatan Muzium Sabah, Jabatan Muzium Negara dan USM."Kami percaya masih ada lagi keranda kayu balak di Lembah Kinabatangan dan kerja-kerja proses penelitian ini akan diteruskan bagi memastikan warisan berharga itu tidak lupus ditelan zaman," jelas beliau.
PENYELIDIKAN, PEMULIHARAAN
"Usaha pemuliharaan penting agar keranda kayu balak ini menjadi warisan kepada generasi akan datang dan khazanah berharga kepada negeri ini".Joseph berkata sedemikian semasa lawatan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim ke Tapak Arkeologi Agop Batu Tulug di Batu Putih, Kinabatangan, baru-baru ini.Ketika ditemui, keranda-keranda itu dalam keadaan berselerak di merata tempat. Ada juga yang masih utuh, sementara yang lain sudah mulai reput, kata beliau.Terdapat keranda terpisah antara badan dan penutupnya. Tidak kurang juga yang masih dalam keadaan tersusun rapi. Kebanyakan keranda kayu balak ini disimpan di gua batu kapur yang banyak terdapat di kawasan Lembah Kinabatangan.Dalam usaha mengenal pasti keranda-keranda yang ditemui, Jabatan Muzium Sabah telah menghantar sampel kayu ke USM untuk dianalisa.
SEJARAH KERANDA KAYU
Katanya keranda-keranda ini terlalu berat kerana dibuat daripada kayu keras seperti kayu belian. Sebagai contoh penutupnya sahaja memerlukan 11 orang untuk mengangkatnya. Ia juga dibuat dalam ukuran yang panjang dan sebuah keranda kayu balak yang berukuran hampir tujuh meter adalah yang terpanjang dijumpai di Batu Supu, Lembah Kinabatangan.Lidah keranda kayu balak ini yang terdapat di hujung keranda akan membezakan mayat yang terdapat di dalamnya, sama ada lelaki atau wanita. Jika lidah keranda itu dibuat dalam bentuk kepala haiwan, ia adalah mayat lelaki, manakala jika lidah itu tidak mempunyai sebarang bentuk, mayat di dalamnya adalah wanita. Ukiran yang banyak terdapat pada keranda-keranda tersebut ialah kepala kerbau ataupun tempadau, buaya, cicak, ular dan burung. Joseph berkata budaya menggunakan keranda kayu ini dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan keranda kayu yang terdapat di negara China dan Vietnam dan pihaknya tidak menolak kemungkinan sejarah penghijrahan pedagang Cina turut membawa kepada sejarah keranda-keranda ini. Beliau menambah berbagai-bagai andaian dibuat, kononnya keranda-keranda lama itu pernah dimiliki oleh pedagang Cina pada kurun ke-10 (Dinasti Sung) yang pernah membuat penempatan di Kinabatangan serta ekspedisi yang diketuai oleh Ong Sum Ping pada kurun ke-14 (Dinasti Ming) yang pernah membuat penempatan di Kinabatangan. Nama Kinabatangan itu pun kononnya adalah sempena nama Cina, "Kina" (Cina). Namun belum ada sebarang bukti arkeologi dapat mengesan penempatan tersebut.
SOKONGAN KERAJAAN
Dalam pada itu, kerja-kerja penyelidikan dan pemuliharaan gua-gua di Sabah termasuk yang mempunyai keranda kayu balak di sekitar Lembah Kinabatangan turut mendapat perhatian dan sokongan daripada kerajaan pusat. Dr Rais, selepas melakukan lawatan di Agop Batu Tulug, berkata satu laporan mengenai penyelidikan dan pemuliharaan gua-gua yang terdapat di Sabah akan dibentangkan kepada Kabinet bagi membantu usaha menjaga warisan berharga itu. Menurut beliau, kementeriannya berharap melalui pembentangan di Kabinet itu nanti akan ada kecenderungan untuk membantu projek-projek penyelidikan dan pemuliharaan warisan.
No comments:
Post a Comment